Mitos Kokka
Posted By admin On 13/04/2008

KUALA LUMPUR: Sepuluh tahun, RM8.1 juta. Secara purata, itulah nilai wang penduduk negara ini yang 'lebur' gara-gara memiliki kayu kokka — kayu yang selayaknya diubah nama kepada 'kayu kokak' (tidak berguna) kerana satu kajian terperinci mendapati kayu kokka sebenarnya tidak wujud dan sengaja diperkenalkan semata-mata untuk tujuan perniagaan.  

Anggaran jumlah berkenaan diperoleh hasil maklumat daripada sumber yang rapat serta pernah menjalin urus niaga dengan beberapa ‘tauke besar’ atau pembekal utama kayu itu.

Begitupun, jumlah itu dipercayai lebih besar kerana ia tidak termasuk jumlah jualan diperoleh peniaga kayu kokka di seluruh negara. Ia juga tidak termasuk jumlah pembelian terus di luar negara, terutama di Makkah.

Peniaga kayu kokka yang mahu dikenali sebagai Abdul Jasman Ahmad, 38, berkata berdasarkan pengalamannya, kayu kokka mula dibawa masuk ke negara ini menerusi seorang warga Turki pada 1998.

Katanya, rakannya terpengaruh dengan keistimewaan yang diuar-uarkan mengenai kayu itu sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

"Ketika itu nilainya sangat mahal. Sebagai contoh, satu tasbih yang mempunyai 33 biji kayu boleh dijual dengan harga sehingga RM1,800, manakala tasbih 100 biji kayu kokka boleh dijual sehingga RM2,500. Jualan memang menggalakkan."

"Rakan saya memperoleh untung sehingga 300 peratus kerana mengambilnya dengan harga lebih murah," katanya.

Abdul Jasman berkata, pada 2003, sambutan terhadap kayu kokka sangat luar biasa sehingga muncul seorang lagi pembekal dari Sudan menawarkan kayu kokka dalam kuantiti lebih besar.

Katanya, buah, tasbih, cincin, gelang, minyak dan tongkat daripada kayu kokka laris jualannya.

“Rakan saya tidak mampu mengambil stok dalam jumlah banyak kerana harga ditawarkan terlalu tinggi. Ketika itu juga pelajar Malaysia yang menuntut di Timur Tengah turut membawa pulang kayu berkenaan untuk dijual, menyebabkan saya terpaksa mengehadkan penjualan.

"Begitupun, dia tetap membekalkan kayu itu kepada peniaga di seluruh Malaysia dan memperoleh untung besar. Jika diikutkan, jualan kayu itu sehingga hari ini mencecah RM1 juta," katanya yang mengakui kemunculan sebuah buku terbitan sebuah syarikat mengenai keistimewaan dan khasiat kayu kokka melariskan lagi kayu itu.

Dalam pada itu, satu lagi pembekal yang lebih besar modalnya dianggarkan membuat jualan mencecah jutaan ringgit sehingga hari ini.

Seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Asfar Kasim, 40, berkata pembekal itu kini bergelar usahawan dan bertambah mewah apabila menjadi pembekal kayu kokka di seluruh Malaysia.

"Dia (pembekal itu) memperoleh bekalan daripada pembekal warga Turki dan Sudan. Dia membeli dalam jumlah besar. Saya diberitahu, untuk tasbih saja, dari 1998 hingga hari ini sudah 100 ribu berjaya dijualnya."

"Secara purata, setiap tasbih dijual dengan harga RM200 dan apabila dijumlahkan, jualan produk itu mencecah RM2 juta," katanya.

Menurut Asfar, itu belum lagi termasuk buah, cincin dan gelang yang turut mendapat sambutan hangat daripada pembeli.

Katanya, buah kayu kokka memang banyak dijual kerana sekurang-kurangnya 250,000 berjaya dijual dengan harga kira-kira RM100 sebiji sehingga jumlah jualan mencecah RM2.5 juta dalam tempoh sama.

"Untuk gelang pula, dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 100,000 berjaya dijual. Harga ditawarkan sekitar RM100 dan ia menyaksikan jualan sehingga RM1 juta."

"Cincin juga mencatat jualan mencecah 200,000 untuk tempoh 10 tahun. Setiap cincin dijual dengan harga sekurang-kurangnya RM80, sekali gus menyaksikan jualan mencecah RM1.6 juta," katanya.

Asfar berkata, pembekal terbabit mencatat jumlah jualan mencecah RM7.1 juta dan ia belum ditambah dengan produk sampingan lain seperti minyak dan tongkat.

Kepalsuan kayu kokka dibongkar seorang Ahli Etnologi, Dr Abdul Manan Embong, yang melakukan kajian terperinci untuk tempoh setahun bersama beberapa pakar tempatan dan antarabangsa.

Mereka ialah Pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Hisham Hashim; Pakar Botani dari Mesir, Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Profesor Ali Akbar Zurillah dari Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki dan penceramah bebas serta penulis, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

Kajian menyeluruh di negara yang dikatakan mempunyai pokok kayu kokka seperti Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok Palma.

Abdul Manan berkata, penyelidikan dilakukan secara berperingkat-peringkat, iaitu mengesan asal usul kayu kokka dan mengesan pokok yang dikatakan menghasilkan kayu kokka.

“Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan yang menggunakan nama kokka di dunia. Jika ada sekalipun, nama panggilan di Jepun, ‘kokua’ iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk sejenis upacara keagamaan dipanggil Shinto.

"Ada juga sejenis tumbuhan palma yang sebutannya hampir dengan ‘kokka’, iaitu sebutan bagi orang Turki, ‘kuka’ daripada asal perkataan 'Coco De Mer' atau 'Melanococa' digunakan untuk menghasilkan minyak," katanya.

Menurut Abdul Manan, kayu kokka dikesan dihasilkan daripada spesies pokok palma 'Attalea Funifera'.

Katanya, buah dan tempurung daripada pokok itu sememangnya digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan semata-mata untuk perniagaan.

“Penyelidikan kami mendapati pokok berkenaan tumbuh di Brazil, Colombia dan Argentina. Di Brazil, pokok berkenaan dikomersialkan, malah mempunyai ladang seluas antara 20 hingga 2,000 hektar.

"Segala hasil pokok itu, seperti buah, tempurung, batang, pelepah dan kulit pokok dijadikan pelbagai barangan seperti minyak dan dieksport ke negara seperti Turki, Mesir, Iran, Syria, Libya, Amerika Syarikat, Afrika, India dan Malaysia," katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dihasilkan dalam bentuk tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat adalah seumpama biji kelapa sawit atau biji Tamar yang dijadikan perhiasan.

"Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

"Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan bahtera Nabi Nuh as seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok berkenaan tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan di atas air," katanya.

Abdul Manan berkata, pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok 'Pine Cypress' yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Menurutnya, penemuan itu berdasarkan kajian dibuat terhadap satu fosil bongkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis yang mendakwa dirinya keturunan ke-1750 Nabi Nuh.

“Kandungan kimia dalam bongkah kayu berkenaan ialah Alpha Cellulose, Hemi Cellulose dan Holo Cellulose iaitu asid asal Alpinene.

“Kandungan itu bersesuaian dengan hasil kajian dilakukan Profesor Dr Mohammad Shakran Shuhatah pada 10 Oktober 2007 di Mesir yang menemui hasil sama dengan spesies ‘Pine Cypress’.

“Daripada 19 jenis pokok Pine dikaji, spesies ‘Pine Cypress’ mengandungi kandungan kimia paling tepat sama dengan kandungan kimia serpihan lama bongkah kayu itu yang dikatakan serpihan bahtera Nabi Nuh.

“Malah, hasil kajian itu juga sama dengan hasil kajian diperoleh kumpulan pengkaji Inggeris dari 1884 hingga 1954,” katanya.

Menurut Abdul Manan, kajian dilakukan Ronald Eldon Wyat pada 1954 menyatakan pokok ‘Pine Cypress’ tumbuh di pergunungan Chaldea hingga pergunungan tengah Armenia di sempadan Rusia hingga ke pergunungan Ararat, tempat bahtera Nabi Nuh dikatakan tersadai mengukuhkan lagi dakwaan itu.

“Hasil penyelidikan Ronald memperkukuhkan bukti pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera agung baginda ialah ‘Pine Cypress’, bukan kokka,” katanya yang akan menerbitkan buku khusus untuk memperjelaskan kekeliruan masyarakat terhadap kayu kokka.

Abdul Manan berkata, fosil yang ditemui juga diuji Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan ia disahkan spesies Pine Cypress yang masih aktif kandungan kimianya.

Katanya, dengan pendedahan itu, diharap masyarakat tidak tertipu dan terpedaya dengan keistimewaan dan kelebihan yang diuar-uarkan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Info

> Kajian mendapati nama kokka tidak pernah wujud

> Apa yang didakwa kayu kokka sebenarnya spesies pokok Palma

> Tiada bukti mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka ada keistimewaan tertentu

> Mengaitkan kokka sebagai bahan membuat bahtera Nabi Nuh as sangat diragui kerana pokok berkenaan tidak mampu bertahan di atas air

> Pokok sebenar digunakan Nabi Nuh bagi membina bahtera dan tongkat baginda ialah kayu daripada pokok ‘Pine Cypress’

Petikan: harianmetro.com.my

Laman Utama | Mengenai Kami | Perkhidmatan | Panel | Kualiti | Hubungi Kami | Maklunbalas | FAQ | Webmail
© DBMHOSPITAL 2007 . All Rights Reserved . Design By boxx