Kajian Air Zam-zam
Posted By admin On 29/02/2008
Ihsan BAD (al-ahkam.net)
 
 
Pada bulan April 1960, seorang doktor bernama Dr. Ahmad Muhammad Kamal daripada Kaherah menulis di dalam majalah Ad-Doktor, (seperti yang dinukilkan dalam Fatawa Muasirat), mengatakan air zamzam dicemari dengan teruknya dan ia membahayakan kesihatan. Hal ini disebabkan, telaga zamzam berada di paras yang rendah justeru kotoran-kotoran dari kawasan yang lebih tinggi mudah memasuki telaga ini dan mencemarinya. Kenyataan Dr. Ahmad Muhammad Kamal emudiannya disebarkan melalui akhbar-akhbar di Barat sehingga menimbulkan kekeliruan dan kemarahan di kalangan umat Islam.

Atas arahan daripada Yang Mulia Raja Faisal, Kementerian Pertanian dan Sumber Air Saudi Arabia bertindak mengambil sampel-sampel air zamzam bagi diuji kaji. Sebahagian daripada sampel-sampel itu dihantar ke makmal-makmal di Eropah.

Kajian yang dilakukan menunjukkan air telaga zamzam mengandungi kadar kalsium dan magnesium yang tinggi. Hal ini mungkin menjawab persoalan mengapa para jemaah haji sentiasa berasa segar selepas meminum air zamzam. Air zamzam juga didapati mengandungi kadar fluorida yang tinggi berbanding sumber air yang lain. Tambahan daripada itu pihak makmal di Eropah – selepas melakukan ujian ke atas air zamzam – mengesahkan ia adalah selamat bagi diminum. Hal ini menakjubkan kerana air zamzam tidak pernah dirawat dengan menggunakan klorin ataupun yang seumpamanya. Namun ia selamat diminum sejak dahulu hinggalah ke hari ini.

Laporan ini dibuat oleh Moinuddin Ahmed dan dimuatkan diIslamOnline.net di bawah tajuk Zamzam Water-A Miracle.

Khasiat Zamzam

Satu lagi kajian berhubung air zamzam dilakukan oleh empat orang pakar dari Suruhanjaya Kuasa Atom Bangladesh (Bangladesh Atomic Energy Commission) iaitu M. A. Khan, A. K. M. Sheriff, K. M. Idris dan M. Alamgir. Mereka mengkaji kandungan air zamzam dibandingkan dengan air paip dan air yang dikeluarkan menggunakan alat pengepam berkuasa solar (solar pump water). Pakar-pakar ini mendapati air zamzam wujud secara tabii dalam bentuk alkali justeru keadaan ini dapat mengawal kesan sampingan yang disebabkan oleh lebihan asid dalam perut sekali gus mampu mencegah penyakit gastrik.

Tambahan daripada itu, kadar iodin, magnesium, natrium (sodium) dan kalium (potassium) didapati tinggi dalam air zamzam. Mereka merumuskan khasiat air zamzam di sudut kesihatan adalah lebih baik berbanding air mineral yang lain. Hal ini dilaporkan di dalam Sunday Observer, Sri Lanka, pada 30 Januari 2005, di bawah tajuk The Miracle of ZamZam oleh S. H. A. Careem.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, air zamzam bukanlah air magis justeru ia tunduk kepada undang-undang alam dan tabii. Bagi memastikan supaya air zamzam tidak dicemari dan pengeluarannya berterusan, pihak kerajaan Saudi Arabia menubuhkan sebuah pusat khas. Pusat ini dikenali sebagai Pusat Kajian dan Penyelidikan Zamzam (Zamzam Studies and Research Center). Dengan penubuhan pusat ini, teknologi moden dapat dimanfaatkan bagi pengeluaran air zamzam. Di samping itu, sistem piawaian terkini dapat digunakan bagi memastikan kualiti airnya tidak dicemari.

Pada hari ini sukar bagi manusia memperoleh air yang benar-benar bersih lagi suci. Mengikut Karima Burns (MH, ND) dalam artikelnya yang bertajuk Water : It Also Flows in Paradise di IslamOnline.net, air yang diminum pada hari bertukar keasliannya kerana perbuatan tangan-tangan manusia. Antara perbuatan yang menukar keaslian air adalah memasukkan lebihan klorin ke dalamnya di samping sodium fluoride dan florosamicic acid. Sodium fluoride dan florosamicic acid dimasukkan ke dalam air bertujuan bagi menambah kadar fluorida dalamnya. Ia merupakan produk sampingan industri yang toksik dan sering kali digunakan sebagai racun tikus. Lebihan klorin dalam air pula akan mengurangkan kadar kalium dan natrium dalam badan dan keadaan ini dapat menjejaskan kesihatan seseorang.

Karima Burns (MH, ND) di dalam artikelnya yang sama seterusnya berkata, amat susah bagi mencari air asli seumpama air zamzam pada hari ini. Beliau menegaskan keaslian dan kebersihan air zamzam disahkan berpandukan beberapa kajian dan penyelidikan bebas yang dilakukan sebelum ini. Sememangnya air zamzam merupakan air yang diberkati. Ia juga merupakan air contoh yang tidak dicemari oleh tangan-tangan manusia sekali gus mengingatkan kita mengenai kepentingan kita serius dalam memelihara kebersihan sumber air yang dianugerahkan Allah kepada kita.

(Sumber : Dr. Danial Zainal Abidin, 2007, "Quran Saintifik : Meneroka Kecemerlangan Quran Daripada Teropong Sains", Bab Khasiat Air Zamzam, hlm. 231 – 233).

W.A
Laman Utama | Mengenai Kami | Perkhidmatan | Panel | Kualiti | Hubungi Kami | Maklunbalas | FAQ | Webmail
© DBMHOSPITAL 2007 . All Rights Reserved . Design By boxx